Jan 27, 2005

Satu Kisah : Srikandi Cinta

Matanya tajam menjunam di sekitar padang. Ada rasa lapang terhimpun dalam nafasnya. Giat jemari kanan dan kiri membetulkan kedudukan hijab yang menutupi kepala. Sambil itu, matanya tak kejap dari pandangan yang penuh makna ke arah sekujur tubuh mungil yang sedang berlarian di padang hijau.

“Mama, bila nak balik kampung jumpa opah?” suara anak kecil tiba-tiba menerjah lamunan.

Dia memandang wajah mulus itu penuh kasih. Usapan lembut seorang ibu pada anak yang masih belum mengerti apa-apa; erti hidup, kesusahan, sakit dan runtun hati. Dia hiba sebentar.

“Mama, mengapa menangis?” anak itu tidak seronok berbicara sendiri. Soalan bertalu minta dijawab.

Dia lantas menggengam jemari kecil anak itu ampuh lalu ditarik rapat ke badannya yang longlai. Anak itu kukuh dalam pelukan si ibu. Mereka melangkah pulang ke teratak dunia.

>>>>>>>>>>

Sudah setahun lamanya Hakim pergi meninggalkan mereka. Sudah setahun lamanya dia hidup dengan rasa gersang cinta. Setahun sudah usia si kecil, zuriat kasihnya yang hidup sebagai anak yatim. Sudah setahun juga Hakim membawa cerita cinta mereka. Dia mengeluh tika terpaksa mengendali hidup seorang diri. Sementelah dia dituduh meranapkan mahligai mertuanya. Dia dituduh merampas Hakim kesayangan keluarga. Dia dituduh, walau hakikatnya dia tidak ketahuan apa. Hakim yang merancang segala. Ya Hakim, tapi Hakim tiada lagi kini. Siapa pula yang akan mempertahankan nasib mereka kini. Dia dan anak kecil itu, terbiar dalam amarah yang tidak pernah selesai.

Hakim. Sebuah nama indah yang mengajarnya erti cinta. Hakim dan bakatnya menggesek biola. Hakim yang begitu bersungguh untuk melamarnya sebagai srikandi cinta. Hakim! dan dia sebenarnya tiada lagi di dunia ini. Hakim membawa segala kenangan mereka.

“Has, terima kasih kerana sudi menemani abang dalam tiap waktu yang sukar. Abang minta maaf kerana Has terpaksa menghadapi semua ini. Abang tahu, ianya bukan mudah. Terima kasih Has” Hakim mengucup lembut jemari Hasnita, isteri yang baru dinikahinya. Seorang wanita yang tabah di matanya. Wanita dan srikandi cinta hatinya.

Seusai majlis yang tidak besar mana itu, Hakim dan Hasnita menyewa di rumah yang sederhana mewahnya. Mereka bahagia walau hakikatnya terlalu banyak kemurungan yang bermaha dalam hati kecil keduanya. Perkahwinan itu tanpa restu orang tua, apa mungkin sudahnya. Hakim dan kemewahan yang ditinggalkan. Hidupnya kini bersama Hasnita yang sempurna. Gesekan biola dan ilham yang lahir adalah satu dimensi ciptaan dari potret kasih mereka. Kasih yang disemai kala Hakim sebenarnya kehilangan arah.

>>>>>>>>>>

Menjadi kaya adalah satu anugerah. Tetapi menjadi kaya yang tidak bersyukur adalah refleksi kepada hati yang tandus iman. Hakim dapat merasa segalanya. Hatinya yang terjal ditakuk dengan hikmah oleh seorang kenalan baru yang membawanya kepada kesedaran yang mutlak. Kekayaan itu bukanlah segalanya dan Hasnita membimbingnya ke jalan yang lebih sempurna. Dia mula mengenal Tuhan. Dia mula mengenal hakikat penciptaan. Dia mula membersihkan kendirinya yang berlimpur dosa dan perlahan di hatinya tertanam rasa cinta yang makin utuh pada kenalan itu. Hasnita, selembut nama dan tutur hikmahnya. Hasnita sumber ilhamnya untuk berkarya. Hasnita juga pembakar semangatnya untuk hidup dengan bahagia. Hasnita membantunya saat dia diamuk lunatik jiwa. Hati yang sebenarnya ingin kebebasan sebagai hamba Tuhan.

Bahagia pada nilaian manusia mungkin belum abadi. Lantaran hubungan Hakim dan Hasnita mendapat tentangan dari keluarga Hakim yang berada. Ironinya, mereka tidak setaraf. Hakim anak hartawan dan Hasnita orang kebanyakan. Hakim anak golongan terbilang namun Hasnita hanya insan biasa. Dek kerana darjat itulah, Hakim mula menjauh diri. Lantaran kehidupan silam itu penuh dengan hamparan dosa dan menjauhkannya dari hidup bertuhan. Keluarganya yang hanya kaya harta namun kontang jiwa. Hakim memilih untuk keluar dan memilih kesederhanaan. Hidup untuk satu matlamat mutlak tersimpan di jendela hati. Hasnita akhirnya disunting utk menemani hari mendatang

>>>>>>>>>>

Bukan mudah untk mengendalikan kehidupan kerana mehnah dan tribulasi dunia sentiasa muncul menduga. Gembira yang didamba tak kekal lama. Hasnita yang disahkan mengandung keguguran kerana terlalu banyak bekerja. Usaha mereka untuk zuriat pertama tidak mendatangkan hasil.

“Sabar Has, Allah pinjamkan kebahagiaan itu sementara,” setia Hakim meyakinkan Hasnita.

“InsyaAllah bang. Kita boleh usahakan yang lainnya. Allah itu maha kaya dan dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita” telus Hanita bersuara dalam sekaan air mata

Hasnita redha sebagaimana Hakim yang cuba tersenyum dalam perit menerima hakikat itu. Kasih sayangnya terus mekar buat Hasnita, srikandi cintanya.

Semakin hari, kesusahan mula menerjah tika Hakim pula terlantar sakit. Hasnita yang tidak bekerja mula merasakan bebanan. Dari jauh, Hakim dibawa pergi. Hospital menjadi saksi saat terlerai kasih sayang mereka. Dan tika itulah Hasnita mendapat tahu yang Hakim masih bukan miliknya yang mutlak. Hakim dibawa ke luar negara untuk rawatan seterusnya.

>>>>>>>>>>

Hasnita masih bersabar. Kasih yang cuba dileraikan bukanlah satu penghalang untuk Hasnita terus membesarkan kandungannya yang kedua dengan lebih baik. Dia berkelana sendiri dan sepi. Kejutan tentang kepemergian Hakim ke rahmatullah begitu dirasa. Kandungannya semakin membesar dan dia begitu tertekan utk menghadapi segalanya dengan sendiri. Namun, dugaan Allah itu bukanlah dengan membiar terus hambaNya merintih. Tiap dugaan dari Tuhan itu punya hikmah dan itulah yang cuba Hasnita terapkan dalam jiwanya. Dia sabar dan redha. Hakikat hidup bertuhan meyakinkan bahawa dia bukan sendiri kerana ada Tuhan untuk dia memohon dan mengadu.

Mujur ada ibu untuk terus bercerita dan melampias rasa hati. Ibu yang memukadimahkan segala panji kalam Tuhan. Ibu yang tidak putus-putus berdoa dan menasihatinya yang makin tersungkur dek merana.

“Has, bersabarlah nak. Allah takkan biarkan hambaNya yang bersabar terus menderita” perlahan Ibu Rabiah mengelus lembut rambut anaknya.

“Tapi bu, sampai bila? Has sakit bu. Has tidak kuat untuk menghadapi segalanya” Hasnita bersuara dalam sebak rasa.

“Has anak ibu, bukan ini yang ibu ingin dengarkan. Ingat lagi apa kata arwah Baba masa mula-mula Has masuk ke universiti? Ibu Rabiah mengundang soalan.

Soalan itu memerlukan mindanya berputar kembali dan akhirnya Hasnita cuma menganguk perlahan

“Baba minta Has bersabar menghadapi segala dugaan. Baba pesan agar Has tak mudah menyerah kalah. Baba nak Has tabah menghadapi segalanya sebab Allah akan membalas semuanya dengan penuh kebaikan,” panjang huraian yang diungkap kembali.

Ibu Rabiah tersenyum. Tahu dia bahawa ratu hatinya ini bukanlah seorang yang mudah tewas dengan cubaan. Ini ratu hatinya yang tunggal dan sesungguhnya Hasnita insan cekal, tamsilan kasih sayang dia dan suami tercinta.

Hasnita betah bermonolog sendiri. Di hadapan Ibu Rabiah, dia melampias rasa dan terjahan hati yang kerap mengundang kekacauan. Saat ini juga mengingatkan dia pada semua yang dikasihi. Ya, Baba yang disayangi adalah nadi kehidupan. Kata-kata Baba yang penuh hikmah banyak mengajarnya erti tabah. Ibu pula isteri yang cukup pandai berkisah. Tiap ceritanya ada elemen bistari yang pasti membuahkan kesan baik di minda. Baba dan ibu adalah 2 insan yang amat dikasihinya. Kini, Baba pergi sudah dan tinggal ibu cuma. Sepertinya, ibu menjadi seorang kembali. Yang lainnya ialah ibu terlalu tabah, dan dia cuba menyelam perasaan ibu. Dia ingin menjadi seperti ibu.

>>>>>>>>>>

Di padang hijau. Anak kecil itu berlarian bersama teman. Luqmanul Hakim. Nama yang diambil dari kitab Tuhan. Peri insan yang manis berhikmah. Luqmanul Hakim tanda cinta sejati dan memori kesinambungan cinta teguhnya bersama Hakim, Izzar Hakimi. Cinta Izzar Hakimi yang telah lama bersemi dalam memori cinta lukanya.

Tiba-tiba dia tersentak dari lamunan. Ahh! Anak itu kerap kali menyapanya bersama kejutan. Dia tersenyum perlahan.

“Mama..mama cuba tengok ni,” Luqman menyua sesuatu padanya.

“Apa ni sayang? Siapa beri pada Luqman?” soal Hasnita bertalu.

“Tu, pakcik yang duduk di bawah pokok tu. Dia kata dia kenal Mama,” termengah-mengah Luqman bersuara.

Terlongo memikir. Siapa pula insan yang kenal diri sepertinya. Hasnita bingkas meninjau. Langkah kakinya semakin deras pada insan misteri itu. Sebentar, di tangannya. Ya, di tangan lelaki itu..ada suatu benda yang cukup dia kenal. Amati dari dekat, semakin dekat dan dia kini mendengar sebuah alunan irama yang cukup indah. Satu lagu rindu, sebuah kerinduan yang berlagu bersama gesekan biola yang dinanti sekian lama. Dia berlari bersama wajah rindu…





No comments: